fb fb fb fb fb

Suami wanita maut tercampak dari van ditahan

PDRM

KUALA LUMPUR, 7 Mei- Polis menahan suami kepada wanita yang maut dipercayai tercampak dari sebuah van di Lebuhraya Shah Alam (KESAS), berhampiran hentian Rehat dan Rawat (R&R) Awan Besar menghala ke Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Aidil Bolhassan berkata lelaki berusia 50 tahun itu ditahan kira-kira 6.00 petang semalam di sekitar bandar Kinrara bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan, iaitu menyebabkan kematian dengan cuai.

"Berdasar siasatan awal, suspek mengaku berlaku pertengkaran mulut dengan isteri (mangsa) ketika dalam perjalanan balik ke rumah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Aidil berkata pasangan itu telah berkahwin selama 20 tahun dan mempunyai dua orang anak.

"Ujian air kencing pada suspek menunjukkan keputusan positif bagi dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan benzodiazepine, selain mempunyai satu rekod jenayah dan dua rekod berkaitan dadah," katanya.

Suspek juga mendakwa mangsa turut terlibat dalam penyalahgunaan dadah jenis methamphetamine.

Aidil berkata siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan mendapatkan keterangan lanjut daripada saksi-saksi berkenaan.

SITI AISHAH MD ISA