fb fb fb fb fb

Dua kanak-kanak mangsa dera akan diserahkan kepada JKM

Datuk James Ratib merangkap Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat melawat dua kanak-kanak mangsa dera pasangan suami isteri di Hospital Keningau baru-baru ini/Foto Jabatan Kebajikan Keningau

KOTA KINABALU, 16 April - Dua kanak-kanak mangsa dera di Keningau, Sabah kini berada dalam keadaan stabil dan semakin pulih, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib.

James berkata, dua kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan suami isteri itu akan ditempatkan di pusat jagaan kanak- kanak dibawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)

"Perkembangan terkini dua kanak-kanak yang kena dera itu sekarang masih dalam keadaan stabil dan berada kawalan pihak hospital Keningau.

"Kedua-dua mereka akan diserahkan kepada pihak Jabatan Kebajikan apabila mereka sihat dan pulih sepenuhnya," katanya.

Pada 5 April lalu, RTM melaporkan sepasang suami isteri ditahan selepas dipercayai melakukan penderaan ke atas kanak-kanak dan remaja lelaki masing-masing berusia lima dan 13 tahun.

Kedua-dua suspek juga didapati mempunyai kes jenayah lampau berkait dadah dan ditahan pihak polis.

Hasil siasatan mendapati Ariel Janmas Janarius, 13, telah ditekap dengan seterika dan dipukul menggunakan batang besi di bahagian belakang badan serta ditendang oleh suspek.

Manakala , Adam Arien, 5 tahun disimbah air panas dan dipaksa berada dalam air panas sehingga menyebabkan kedua-dua kaki melecur dan juga dipukul menggunakan batang besi, ditendang serta ditekap seterika di bahagian tangan kiri dan kanan.

Kes disiasat dibawah seksyen 31 (1)(a) akta kanak-kanak 2001.

GRACE AISYAH KEDAYAN