fb fb fb fb fb

Dua hari hilang, kanak-kanak perempuan belum ditemui

FOTO POLIS DAERAH KLANG SELATAN

KLANG SELATAN, 10 Oktober- Seorang kanak-kanak perempuan warga tempatan berusia 12 tahun, Madrafataha Indal Bangsawan, dilapor hilang sejak Selasa lalu di Flat Lorong Batu Nilam 1B, Bandar Bukit Tinggi 1, Klang.

Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Cha Hoong Fong menerusi kenyataan memaklumkan, sebelum kejadian kira-kira 2.20 petang, ibu kepada kanak-kanak itu telah meminta mangsa turun ke bawah rumah untuk mengambil makanan, dan mangsa telah turun secara berseorangan.

Namun hampir setengah jam kemudian, mangsa tidak kembali ke rumah sebelum ibunya bertindak mencari di kawasan sekitar parkir kereta.

Ekoran gagal menemui keberadaan mangsa, ibu Madrafataha telah membuat satu laporan polis.

Susulan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah Polis Klang Selatan telah membuka satu kertas enkuiri orang hilang untuk siasatan lanjut.

Madrafataha berbadan kurus, kulit cerah, ketinggian lebih kurang 150CM, dan rambut pada paras bahu.

Kali terakhir dia dilihat memakai Baju T-shirt Sukan warna Hijau dan seluar track warna Hitam.

Justeru orang ramai yang mempunyai maklumat, diminta untuk menyalurkannya terus kepada IPD Klang Selatan di Talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Trainee2