fb fb fb fb fb

Kanak-Kanak 12 tahun hilang ketika ambil makanan di kereta

Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dilaporkan hilang selepas turun mengambil makanan dari kereta yang diparkir di bawah kediamannya di sebuah flat di Bandar Bukit Tinggi 1, Klang, pada Selasa / Foto Hiasan

SHAH ALAM, 9 Oktober – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dilaporkan hilang selepas turun mengambil makanan dari kereta yang diparkir di bawah kediamannya di sebuah flat di Bandar Bukit Tinggi 1, Klang, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Penolong Pesuruhjaya Polis, ACP Cha Hoong Fong berkata pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan tersebut pada 8.59 malam, hari yang sama.

Katanya, siasatan awal mendapati kanak-kanak itu turun ke tempat parkir pada sekitar pukul 2.20 petang, atas arahan ibunya, untuk mengambil makanan dari kereta. Bagaimanapun, dia tidak kembali ke rumah.

"Ibu mangsa mula mencari kanak-kanak itu pada pukul 3 petang, namun gagal menemuinya," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Berikutan itu, ibu mangsa telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

Mangsa, kali terakhir dilihat berpakaian t-shirt hijau dan berseluar ‘track’ hitam.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menyalurkan maklumat kepada IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau balai polis berhampiran.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN