fb fb fb fb fb

Dua beradik didakwa membunuh

Tertuduh, P. Jagdeeshraj dan P. Vasantharaj didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini

JOHOR BAHRU, 4 Januari- Dua beradik didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki pada 27 Oktober tahun lalu. 

Tertuduh, P. Jagdeeshraj, 20 dan P. Vasantharaj, 21, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Farahah Mohd Suah.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa bersama dengan tiga lagi suspek masih bebas  telah membunuh Muhammad Syafiq Abd Latif, 25 tahun.

Kesalahan itu dilakukan di tepi persimpangan Jalan Trus/Jalan Ungku Puan di sini, sekitar 1.05 pagi.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.

Kedua-dua tertuduh yang bekerja sebagai tukang pencuci kereta dan pembantu kedai didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Akta yang sama.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nevina Ravichandran manakala kedua-dua tertuduh yang bekerja sebagai pencuci kereta dan pembantu kedai tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 6 Mac 2024 sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan laporan bedah siasat.

Sementara itu, tiada jaminan dibenarkan untuk kedua-dua tertuduh.

ZEHRA BINTI ZAMBRI