fb fb fb fb fb

Dua anggota tentera mengaku tidak bersalah kes rogol kanak-kanak, mohon dibicarakan

Foto hiasan

KOTA BHARU, 29 Disember- Dua anggota tentera mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini, atas pertuduhan merogol kanak-kanak berusia 10 tahun di sebuah rumah di Bachok, sekitar April tahun lalu.

Pengakuan itu dibuat kedua-dua tertuduh, Mahadi Ismail, 39 tahun dan Aizat Hakim Mohammad, 20 tahun selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, kedua-dua tertuduh didakwa merogol kanak-kanak perempuan ketika itu berusia 10 tahun lapan bulan di Bachok pada waktu siang sekitar April tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(e) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun hingga 20 tahun serta sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli dan kedua tertuduh diwakili peguam, Majidah Muhamad dan Mohd Firdaus Zainal Abidin.

Dalam pendakwaan tersebut, Kamarul Hasyime tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kedua tertuduh memandangkan mangsa seorang kanak-kanak dan baru berusia 10 tahun.

Bagaimanapun peguam tertuduh, Mohd Firdaus menerusi rayuannya memohon jaminan diberikan memandangkan anak guamnya yang juga penjawat awam memberi kerjasama baik kepada pihak polis selain menyerah diri di Balai Polis Bachok sebelum ini.

Selain itu katanya, seorang daripada anak guamnya sudah hampir bersara wajib tahun depan serta perlu menanggung empat anak masih bersekolah.

Manakala seorang lagi anak guamnya, Aizat Hakim, baru tamat latihan dan akan melapor diri di tempat kerja esok.

Mahkamah kemudiannya menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 setiap tertuduh dan perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan selain tidak dibenarkan mengganggu saksi.

Mahkamah menetapkan 2 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI