fb fb fb fb fb

Peniaga rugi lebih RM100,000 terpedaya pelaburan tidak wujud

PDRM

KUANTAN, 28 Disember- Seorang peniaga warga emas dari Temerloh mengalami kerugian lebih RM100,000 akibat terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang menjanjikan keuntungan lumayan pada November lepas.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata mangsa lelaki berusia 67 tahun itu telah menyertai skim pelaburan saham pada 8 November lepas melalui aplikasi WhatsApp selepas suspek mendakwa dirinya pemegang jawatan tinggi dalam Bursa Saham.

Beliau berkata mangsa tertarik untuk menyertai pelaburan tersebut apabila suspek memberitahu bahawa tiada cukai pelaburan dikenakan sekiranya peniaga itu menyertai pelaburan pada hari berkenaan .

"Mangsa telah membuat sembilan kali transaksi ke lapan akaun bank berlainan, sebanyak RM117,000. Mangsa mula menyedari dirinya ditipu apabila gagal berhubung dengan suspek dan tidak menerima sebarang keuntungan seperti yang dijanjikan.

"Sumber kewangan adalah wang simpanan mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya turut menasihatkan orang ramai untuk membuat semakan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pelaburan dalam talian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

SITI AISHAH MD ISA