fb fb fb fb fb

Gaduh di stesen LRT: 8 ditahan, lebih ramai akan diburu

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata lebih ramai akan diburu berdasarkan rakaman video

JEMPOL, 28 Disember – Seramai lapan individu telah ditahan setakat ini berhubung insiden rusuhan melibatkan dua kumpulan penyokong bola sepak di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan, baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata, tangkapan lanjut akan dilakukan berdasarkan pengecaman individu melalui gambar dan rakaman video yang diperoleh pihak berkuasa.

“Setakat ini, kami telah menahan dua orang pada peringkat pertama dan enam lagi pada peringkat kedua.

"Berdasarkan bukti gambar dan rakaman yang jelas, beberapa lagi individu sedang dikesan, dan tangkapan akan diteruskan.

"Arahan saya jelas, tangkap semua yang terlibat dalam insiden ini, terutamanya mereka yang mencetuskan pergaduhan. Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku di negara ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Konstabel Sokongan Lelaki/Wanita Siri 1/2024 di Pusat Latihan Polis Air Hitam (Pulapol) di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof.

Sebelum ini, satu video tular memaparkan pergaduhan di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan yang melibatkan kira-kira 20 hingga 30 individu.

Dalam kejadian itu, peserta rusuhan bertindak agresif dengan bertumbuk, membaling tong sampah, dan menendang pintu tren, sehingga menyebabkan kerosakan.

Rusdi turut menegaskan komitmen pihak polis untuk menahan semua yang terlibat dalam insiden berkenaan dan sedang giat melengkapkan siasatan berdasarkan bukti yang diperoleh.

“Insya-Allah, kami akan teruskan tangkapan dengan bantuan rakaman video yang jelas,” tambahnya.

Polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden tersebut agar tampil membantu siasatan.

GRACE AISYAH KEDAYAN