fb fb fb fb fb

Dua anggota polis berkhalwat, ditukar serta-merta

Dua anggota polis berkhalwat ditukarkan serta-merta

GEORGE TOWN, 10 Mac- Dua anggota polis yang ditahan selepas dipercayai berkhalwat di sebuah hotel dekat Tanjong Tokong semalam ditukarkan serta-merta kata Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad.

Kedua-dua anggota berpangkat Koperal dan Sarjan Mejar itu bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, Balik Pulau.

Pihaknya mengeluarkan arahan tersebut serta-merta selepas menerima laporan berhubung kejadian.

"Tindakan tatatertib turut dikenakan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang," kata Mohamed Usuf Jan Mohamad.

Semalam, Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) menyerbu hotel berkenaan pada pukul 1.30 pagi selepas mendapat aduan daripada suami kepada wanita berkenaan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan, Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAIPP Alamin Majok berkata, hasil operasi membawa kepada tangkapan seorang lelaki dan wanita masing-masing berusia 37 tahun.

Semakan mendapati lelaki dan wanita itu bersekedudukan tanpa mempunyai sebarang ikatan pernikahan yang sah.

Kes disiasat bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 iaitu berkhalwat.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI