fb fb fb fb fb

 Doktor didakwa palsukan catatan, dokumen sijil vaksinasi COVID-19

Muhamad Reze ( bertopi) mengaku tidak bersalah atas 10 pertuduhan membuat catatan dan dokumen palsu berkaitan sijil vaksinasi.

MARANG, 6 Disember- Seorang doktor di sebuah klinik swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membuat catatan dan dokumen palsu berkaitan sijil vaksinasi.
 
Tertuduh, Muhamad Reze Rashid, 52, membuat pengakuan itu sebelum mohon dibicarakan selepas 10 pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zur Azureen Zainalkefli.
 
Berdasarkan pertuduhan pertama , tertuduh didakwa dengan niat membuat catatan palsu status penerimaan vaksinasi terhadap seorang lelaki berusia 44 tahun.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 477A Kanun Keseksaan (KK) berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa membuat dokumen palsu dengan secara fraud menyempurnakan dokumen iaitu kad peringatan vaksinasi terhadap individu sama.

Dia yang didakwa mengikut Seksyen 464 (a) KK berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut berdepan lapan lagi pertuduhan iaitu masing-masing empat pertuduhan mengikut Seksyen 477A KK dan empat pertuduhan mengikut Seksyen 464 (a) KK.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah klinik di Kampung Rhu Rendang, Marang pada 7 hingga 23 Disember 2021.
 
Mahkamah menetapkan 17 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah manakala tertuduh diwakili peguam,Najib Zakaria dan Azahir Nasir.

ZEHRA BINTI ZAMBRI