SEBERANG JAYA, 12 Disember - Seorang lelaki dipercayai membunuh isterinya empat hari lalu di sebuah pangsapuri di Jalan Tuna, Seberang Jaya tampil ke balai polis berhampiran untuk memaklumkan kejadian itu pada pukul 11.30 tengah hari, Khamis.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Helmi Aris berkata, suspek berusia 28 tahun itu hadir sendiri ke balai polis dan mengaku berlaku kematian di rumah mereka di tingkat dua pangsapuri berkenaan.
Bertindak atas maklumat tersebut, pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Seberang Perai Tengah (SPT) ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut.
Mangsa ditemukan dalam keadaan terlentang lengkap berpakaian di atas tilam sebuah bilik tidur.
Pasukan forensik menjumpai sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam insiden tersebut.
Mayat dihantar ke Unit Forensik, Hospital Seberang Jaya untuk proses bedah siasat.
Dalam pada itu, Pakar Perunding Patologi Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr. Zahari Noor berkata, pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan kelar pada leher mangsa.
“Pengesahan awal menunjukkan terdapat kesan kelaran pada leher mangsa dan dia juga dipercayai dilemaskan. Anggaran awal menunjukkan kejadian berlaku lebih kurang empat hari lalu.
"Namun, kita akan lakukan bedah siasat esok untuk pengesahan yang lebih tepat. Buat masa ini, anggaran tempoh kematian antara sekitar 20 hingga 96 jam," katanya.
Suspek ditahan bagi membantu siasatan dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada hari ini untuk permohonan reman.
Kes disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.