fb fb fb fb fb

AGC tarik balik rayuan terhadap pembebasan Rosmah

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Disember - Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk tidak meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang melepaskan dan membebaskan Datin Seri Rosmah Mansor daripada 17 pertuduhan pengubahan wang haram, setelah berpuas hati bahawa tiada prospek kejayaan sekiranya rayuan diteruskan di Mahkamah Rayuan.

Dalam satu kenyataan, AGC memaklumkan jabatan itu telah menerima rekod rayuan daripada Mahkamah Tinggi pada 30 Oktober 2025 berhubung keputusan terbabit, selepas meneliti sepenuhnya alasan penghakiman yang diperoleh.

Antara faktor yang diambil kira adalah sekiranya rayuan diteruskan, pihak pendakwaan tidak akan dapat membuktikan kes melampaui keraguan munasabah, sebagaimana diperlukan dalam pembuktian sesuatu perbicaraan jenayah.

Ini memandangkan saksi-saksi penting yang diperlukan untuk membuktikan pertuduhan terhadap beliau telah meninggal dunia dan tidak lagi dapat dikesan.

"Dalam keadaan sedemikian, kesalahan predikat terhadap tertuduh juga tidak dapat dibuktikan," menurut kenyataan itu.

Jabatan berkenaan menegaskan, semua aspek utama kes, termasuk isu fakta dan undang-undang telah diteliti sebelum keputusan untuk tidak meneruskan rayuan diambil, dengan Notis Penarikan Balik Rayuan difailkan pada 9 Disember lepas.

Bagaimanapun, keputusan untuk menarik balik rayuan terbabit tidak menjejaskan prosiding lain yang masih berjalan, termasuk kes rasuah berkaitan projek solar hibrid melibatkan tertuduh yang tetap diteruskan dan kini berada pada peringkat Mahkamah Rayuan.

"Tertuduh sebelum ini telah disabitkan dan dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 September 2022 atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek solar bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak, dengan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta.

"Pelaksanaan hukuman tersebut telah ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan tertuduh di Mahkamah Rayuan," menurut kenyataan itu.

AGC turut menegaskan komitmen berterusan untuk menjalankan fungsi pendakwaan secara bebas, adil dan berintegriti, serta keputusan dibuat sentiasa berlandaskan undang-undang dan bukti yang tersedia, demi memastikan keadilan ditegakkan dan kepentingan awam sentiasa terpelihara.

Pada 19 Disember tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi K. Muniandy (kini Hakim Mahkamah Rayuan) melepaskan dan membebaskan Datin Seri Rosmah, 74 tahun daripada pertuduhan terbabit, selepas membenarkan permohonan untuk membatalkan kesemua tuduhan terhadapnya, atas alasan tuduhan itu tanpa asas dan pendakwaan tidak mengemukakan sebarang unsur kesalahan dalam tuduhan dikenakan.

MASNIZA AWANG KECHIK