fb fb fb fb fb

Datuk Seri direman 6 hari, disiasat kes rasuah projek tambakan laut RM44 juta

FOTO RTM

AYER KEROH, 15 April- Seorang pemimpin kanan parti politik bergelar Datuk Seri direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima rasuah membabitkan projek tambakan laut bernilai RM44 juta di Kota Laksamana antara tahun 2021 hingga 2023.

Perintah reman sehingga 20 April itu dikeluarkan oleh Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini.

Suspek lelaki berusia 61 tahun itu tiba di Kompleks Mahkamah kira-kira pukul 9 pagi dengan berpakaian lokap SPRM berwarna jingga, diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber, suspek ditahan pada pukul 4.55 petang semalam selepas hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Melaka.

Ketika kejadian, suspek dipercayai memegang jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara dan disyaki menerima suapan dalam bentuk harta termasuk empat buah kereta mewah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi serta penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE