KUALA LUMPUR, 15 April- Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menangguhkan perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Razak.
Penangguhan itu dimaklumkan oleh peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kepada Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah pada awal prosiding pagi ini.
Shafee turut memaklumkan bahawa Jabatan Penjara telah memberikan kebenaran kepada bekas Perdana Menteri itu untuk menghadiri istiadat pengebumian Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi di Masjid Negara, bagi memberi penghormatan terakhir kepada Perdana Menteri Malaysia Kelima itu.
Pihak pendakwaan tidak membantah permohonan tersebut, dan mahkamah menetapkan perbicaraan disambung semula esok.
Pada 30 Oktober tahun lalu, Hakim Sequerah memerintahkan Najib membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Najib, 71, kini sedang membela diri atas empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB, selain berdepan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.