KUALA LUMPUR, 15 April- Polis mengesahkan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang diculik di Seremban pada 10 April lalu telah disorok dalam sebuah bagasi sebelum dilarikan oleh penculik.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, mangsa pada waktu kejadian sedang dalam perjalanan bersendirian ke sebuah kedai serbaneka di Uptown Avenue, Seremban 2 selepas mengunjungi salon bersama ibunya. Ketika itulah dia diculik.
Kejadian tersebut hanya diketahui selepas ibu mangsa menghubungi bapa remaja terbabit, yang kemudian membuat laporan polis. Tidak lama selepas itu, ibu mangsa menerima panggilan yang menuntut wang tebusan sekiranya mahu anaknya dibebaskan dengan selamat.
Penculik meminta wang tebusan sebanyak RM2 juta, namun keluarga mangsa hanya sempat membayar RM280,000 serta menyerahkan beberapa barangan kemas pada 11 April lalu.
Polis berjaya menahan enam individu tempatan iaitu tiga lelaki dan tiga wanita, berusia antara 20 hingga 31 tahun yang disyaki terlibat dalam kes berkenaan.
Dalang utama dipercayai seorang wanita daripada kalangan suspek, manakala seorang lagi suspek lelaki masih diburu.
Dalam operasi itu, polis turut merampas RM180,000 wang tebusan, beberapa telefon bimbit, serta alat pengesan logam yang dipercayai digunakan untuk mengesan beg tebusan yang telah dipasang alat penjejak.
Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961.
Dalam perkembangan terbaru, seorang lagi lelaki yang disyaki terlibat dalam penculikan tersebut maut selepas berbalas tembakan dengan pihak polis di Bandar Bukit Tinggi, Klang, semalam.