fb fb fb fb fb

Dadah lebih RM11 juta dirampas, seorang individu ditahan

Datuk Seri Khaw Kok Chin

KUALA LUMPUR, 10 Februari- Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman merampas dadah bernilai lebih RM11 juta dalam satu operasi di sebuah kondominium mewah di Batu Caves, Selangor, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Pesuruhjaya Polis (CP) Datuk Seri Khaw Kok Chin, berkata seorang lelaki berusia 31 tahun dipercayai bertindak sebagai penjaga stor dadah jenis ketamin dan syabu turut ditahan dalam operasi itu.

Sindiket terlibat menggunakan taktik membungkus dadah dalam paket teh Cina untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

"Jumlah keseluruhan dadah (syabu) yang kita rampas itu dianggarkan seberat 88.816 kilogram (kg) dan ketamin anggaran berat 171.75 kg. Kalau mengikut harga pasaran ia dianggarkan bernilai RM11.43 juta.

"Sekiranya dadah ini terlepas keluar ia diedarkan kepada kira-kira 1.02 juta penagih," katanya dalam sidang media di Ibu pejabat Polis Bukit Aman di sini.

Suspek menerima gaji asas RM10,000 sebulan, turut menerima komisyen bergantung kepada jumlah dadah yang berjaya diedarkan.

Sindiket dipercayai beroperasi sejak Disember lalu, dengan kondominium itu dijadikan tempat penyimpanan bekalan yang dibawa dari sempadan utara negara sebelum diedarkan ke Lembah Klang dan kemungkinan ke negeri-negeri lain.

Selain dadah, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM1,100 serta sebuah kereta bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

Sementara itu ujian air kencing ke atas suspek mendapati suspek positif ketamin, namun suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Suspek kini direman dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup serta sebatan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI