JOHOR BAHRU, 9 Januari- Polis Johor menumpaskan sindiket pengedaran dadah di sini dengan penangkapan lima individu dalam operasi bermula 5 Januari lalu hingga semalam, dan merampas sejumlah dadah bernilai lebih RM13.6 juta.
Ketua Polis Johor Datuk M. Kumar berkata, salah seorang suspek berusia 29 tahun dipercayai dalang sindiket tersebut turut dicekup bersama dua lelaki dan dua wanita dalam lingkungan umur 24 hingga 29 tahun.
Sebelum ini suspek tersebut pernah ditangkap dan baru sahaja selesai menjalani hukuman penjara pada tahun 2022.
Modus operandi Sindiket yang aktif sejak September tahun lalu itu menggunakan modus operandi dengan menjadikan kondominium mewah sebagai stor simpanan dan pembungkusan semula dadah.
Menerusi operasi di Seri Alam dan Iskandar Puteri polis berjaya merampas kira-kira 73 kilogram serbuk ekstasi bernilai sekitar RM12.28 juta, 20 kilogram ketamin dengan anggaran nilai RM1.014 juta, 2.9 kilogram pil eramin dan 26 biji pil ekstasi.
Dadah tersebut mampu menampung lebih 357 ribu penagih.
Dalam operasi sama, beberapa barang turut disita melibatkan tiga buah kereta, sebuah motosikal, jam tangan, barang kemas dan wang tunai selain menyita sebuah syarikat.
Polis sedang mengesan seorang wanita bernama Chang Siew Yin, 39 tahun yang dipercayai akan membantu siasatan.
Kesemua suspek direman sehingga 11 Januari bagi siasatan mengikut seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.