fb fb fb fb fb

Curi kabel TM: 12 lelaki ditahan, lima diburu polis

Mohd Hamizi Halim pada sidang media di IPD Labuan hari ini/RTM

LABUAN, 6 Februari- Polis Labuan berjaya menahan 12 lelaki, manakala lima lagi sedang diburu kerana terlibat dalam kegiatan mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) di sekitar sini.

Ketua Polis Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan, Penguasa Polis (SP) Mohd Hamizi Halim berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 11 lelaki tempatan dan seorang warga asing berusia antara 18 hingga 60 tahun yang aktif menjalankan kegiatan itu sejak Julai lalu.

Kesemua mereka merupakan ahli beberapa geng jenayah termasuk 'Geng Bel Isham', 'Geng Fitri', 'Geng Eul', 'Geng Arshad' dan 'Geng Salpau', serta didapati positif dadah jenis syabu.

Mohd Hamizi berkata penahanan suspek berjaya menyelesaikan 12 laporan kes yang diterima sejak Julai lalu.

"Semua kabel yang dicuri telah dikupas dan dibakar dalam kawasan semak sebelum dijual ke premis barang lusuh sekitar Labuan. Semakan rekod jenayah lampau menunjukkan kesemua suspek pernah dihukum dalam pelbagai kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah," katanya pada sidang media di IPD Labuan di sini hari ini

Kejadian tersebut melibatkan kerugian hampir RM90,000.

Polis turut merampas beberapa peralatan, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV), serta keratan kabel yang disyaki digunakan dalam kegiatan jenayah tersebut.

Kesemua yang ditahan kini didakwa bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

SITI AISHAH MD ISA