IPOH, 29 Disember - Empat lelaki dan seorang wanita termasuk tekong bot nelayan pendatang tanpa izin (PATI) berjaya ditahan dalam cubaan menyeludup masuk melalui jalan tidak diwartakan di kedudukan sekitar 37 batu nautika barat daya Pulau Pangkor, di Lumut.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali Ya’akup dalam satu kenyataan berkata bot itu dikesan ketika rondaan rutin dijalankan di sekitar perairan Perak.
Hasil pemeriksaan di bot berkenaan mendapati ke semua PATI warganegara Indonesia berusia lingkungan 30 hingga 45 tahun itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
"Kes disiasat dbawah Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara ini melalui pintu yang tidak diwartakan serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 kerana melakukan aktiviti penyeludupan migran," katanya menerusi kenyataan itu.
Dalam perkembangan lain Hambali memaklumkan, Maritim Perak merampas sebuah bot tanpa pendaftaran beserta barangan di muara Bagan Sungai Tiang, di Bagan Datuk.
"Menerusi aduan orang ramai, bot berkenaan yang disyaki membawa PATI masuk ke negara jiran dilihat terdampar di muara sungai berkenaan," katanya.
Hasil pemeriksaan menemukan beberapa jenis beg baju dan barang-barang peribadi dipercayai milik PATI namun tidak kelihatan kesemua suspek di dalam bot berkenaan.
Kes disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Semua hasil rampasan dan bot diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.