fb fb fb fb fb

Cubaan seludup gagal, polis Sarawak rampas dadah lebih RM1.14 juta

DCP Saifullizan Ishak menunjukkan dadah yang dirampas dalam dua operasi berasingan pada awal bulan lalu

BINTULU, 10 September- Polis Sarawak merampas dadah bernilai lebih RM1.14 juta dalam dua operasi berasingan di Sibu dan Bintulu awal bulan ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak berkata, operasi pertama di Sibu menyaksikan penahanan empat suspek termasuk dua wanita berusia 27 hingga 48 tahun.

"Rampasan melibatkan pelbagai jenis dadah antaranya MDMA seberat 14,373.41 gram, Erimin 5 (126.84 gram), Ketamin (149.80 gram) dan Syabu (2,168.74 gram) dengan nilai hampir RM480,000," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu, pagi tadi.

Turut disita harta sindiket bernilai lebih RM387,000 termasuk dua kenderaan, wang tunai serta barang kemas.

Siasatan awal mendapati sindiket yang aktif sejak pertengahan 2024 itu mendapatkan bekalan dari Miri melalui aplikasi WeChat sebelum dihantar menggunakan bas ekspres dan dibungkus semula di rumah kediaman.

Dalam operasi kedua di sebuah premis di Jalan Tanjong Batu, Bintulu, polis menggagalkan cubaan menyeludup 17,000 gram syabu bernilai kira-kira RM663,000.

“Dadah tersebut dikirim dari Semenanjung menggunakan kargo udara dan dibungkus di dalam kotak produk makanan berlabel ‘Coconut Sugar’ bagi mengelak dikesan,” ujar beliau.

Kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Bagi tempoh 1 Januari hingga 7 September 2025, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak merekodkan 7,961 tangkapan melibatkan 460 pengedar, 1,516 pemilik dadah dan 5,985 penagih.

Nilai rampasan pelbagai jenis dadah serta racun dianggarkan mencecah RM26.1 juta.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN