IPOH, 10 September- Seorang bekas Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Daerah Taiping dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas 16 pertuduhan pecah amanah membabitkan lebihan bayaran imbuhan imam berjumlah RM30,250.
Tertuduh, Muhamad Azian Mat Isa, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Mengikut pertuduhan, kesalahan dilakukan ketika tertuduh yang juga Penyelaras Pentadbiran Masjid Daerah Taiping diamanahkan penguasaan ke atas wang tunai tersebut antara Mac 2019 hingga Jun 2023 di Pejabat Agama Islam Daerah Taiping.
Kes berkenaan dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suzieyana Azura Yahaya bersama Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor memohon jaminan sebanyak RM64,000 iaitu RM4,000 bagi setiap pertuduhan, selain syarat tambahan menyerahkan pasport dan melaporkan diri di Pejabat SPRM Taiping setiap bulan.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid memohon jaminan dikurangkan kepada RM10,000 atas alasan anak guamnya kini bekerja sendiri dengan pendapatan bulanan RM1,000 serta menanggung isteri dan empat anak yang masih bersekolah.
Mahkamah menetapkan 13 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.