fb fb fb fb fb

Cubaan pindah 77 kambing tanpa kebenaran, gagal

Foto JPV Terengganu

KUALA TERENGGANU, 22 Januari - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu berjaya mematahkan cubaan memindahkan 77 ekor ternakan kambing tanpa kebenaran di Kampung Padang Landak, Besut semalam.
 
Tangkapan dibuat hasil serbuan ke atas sebuah lori kira-kira pukul 11.30 malam di tepi jalan, berhadapan sebuah kedai makan.

Pengarahnya Dr Anun Man ketika dihubungi berkata, selepas diperiksa pihaknya mendapati terdapat 77 ekor kambing termasuk biri-biri yang dianggarkan bernilai RM98,500. 
 
Kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 kerana melakukan kesalahan pemindahan ternakan tanpa kebenaran sah daripada pengarah JPV.
 
Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda  tidak melebihi RM15,000.
 
Menurut beliau lagi sepanjang tahun lalu 12 kes pemindahan ternakan tanpa kebenaran telah direkodkan.
 
Sehubungan itu pihaknya akan menjalankan aktiviti penguatkuasaan dengan lebih tegas bagi memastikan kawalan penyakit secara optimum.

TETITIA YUSOFF