fb fb fb fb fb

Seludup besi, polis tahan enam individu, barangan bernilai RM113 juta dirampas

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 22 Januari- Polis menahan enam individu dan merampas barangan bernilai RM113 juta dalam serbuan terhadap tujuh premis syarikat di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur disyaki menjalankan kegiatan penyeludupan besi dan logam dari luar negara.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Datuk Seri Azmi Abu Kassim menerusi satu kenyataan memaklumkan, serbuan dilakukan 17 Januari lepas bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) terhadap syarikat yang membekalkan produk besi dan logam untuk sektor pembinaan.

Beliau berkata, enam individu yang ditahan terdiri daripada dua lelaki dan seorang perempuan warga tempatan serta tiga lelaki warga asing berumur antara 33 hingga 50 tahun.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat pelbagai kesalahan dikesan termasuk kegagalan mengemukakan dokumen perakuan pematuhan standard (PPS) yang sah.

"Sejumlah produk logam dikategorikan sebagai produk akhir tanpa PPS yang sah oleh CIDB untuk kegunaan sektor pembinaan di dalam negara telah ditemukan.

"Selain itu, terdapat juga produk besi dan logam yang dikategorikan sebagai produk separuh siap yang dipercayai diimport secara tidak sah," katanya.

Antara barangan rampasan katanya, ialah peralatan untuk premis berkenaan beroperasi dan pelbagai jenis produk logam termasuk 8,939 tan besi dan keluli industri, 5 kontena, 12 forklift, 40 tong gas silinder, dan 61 pelbagai mesin memproses besi dan keluli.

Kes disiasat mengikut Seksyen 33D Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994, Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE