fb fb fb fb fb

Cubaan edar dadah seberat 112.43kg gagal

Foto RTM

ALOR SETAR, 3 November - Cubaan mengedar dadah jenis bunga ganja seberat 112.43 kilogram bernilai kira-kira 4.04 juta ringgit berjaya digagalkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah.

Ia hasil operasi khas di Lebuhraya Utara–Selatan berhampiran Tol Sungai Dua, Pulau Pinang pada 29 Oktober lalu.

Ketua Polis Negeri, Datuk Adzli Abu Shah berkata, hasil risikan membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun yang memandu kenderaan jenis Toyota Vellfire.

Pemeriksaan terhadap kenderaan suspek menemui empat kotak besar berisi 112 bungkusan plastik lutsinar mengandungi bahan disyaki bunga ganja.

Turut dirampas beberapa barangan peribadi dan sebuah motosikal Yamaha LC135 bernilai kira-kira RM3,000.00.

“Apabila pemeriksaan lanjut dilakukan, kami mendapati dalam kereta ini terdapat empat kotak besar yang dibalut dengan plastik hitam. Setiap kotak mengandungi 53 kotak lut sinar yang diisi dengan dadah jenis bunga ganja.

"Suspek yang ditahan berumur 24 tahun dan mempunyai tujuh rekod jenayah terdahulu berkaitan judi," katanya ketika bercakap pada sidang media di sini hari ini.

Siasatan awal mendapati suspek berperanan sebagai transporter sindiket pengedaran dadah dan dijanjikan upah sebanyak RM18,500.00 bagi penghantaran tersebut.

Sindiket dipercayai aktif sejak awal Oktober lalu dan menggunakan laluan sempadan Perlis–Thailand untuk membawa masuk bekalan sebelum dihantar ke Kuala Lumpur.

Suspek kini direman tujuh hari hingga rabu ini bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN