fb fb fb fb fb

5 ditahan disyaki rompak hasil dan ceroboh perairan negara

Foto MARITIM MALAYSIA

KUCHING, 3 November - Sebuah vesel nelayan asing bersama pelbagai rampasan dianggar bernilai RM2 juta disita Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri, Jumaat lepas.

Rampasan termasuk 200 kilogram ikan tuna, peralatan menangkap ikan dan 300 liter diesel.

Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad dalam kenyataan media memaklumkan, penahanan itu hasil perkongsian maklumat risikan Bahagian Perisikan Ibu Pejabat Maritim Malaysia bagi membanteras pencerobohan nelayan asing di perairan Sarawak.

Katanya, vesel tersebut dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan sekitar 70 batu nautika barat laut Suai, Miri pada Jumaat lepas.

"Vesel berkenaan cuba melarikan diri dan bertindak agresif sebaik menyedari kehadiran aset Maritim. Bagaimanapun vesel terbabit berjaya dipintas dan ditahan untuk pemeriksaan.

"Lima kru ditahan termasuk tekong berumur antara 36 hingga 53 tahun disyaki warga Vietnam, tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah," jelas kenyataan tersebut.

Siasatan dijalankan bawah Seksyen 15(1)(a), dan Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985 kerana gagal mempamerkan dokumen kebenaran menangkap ikan di perairan Malaysia dan gagal memaklumkan kepada pegawai berkuasa mengenai kemasukan ke perairan negara.

Kesemua yang diberkas turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN