fb fb fb fb fb

Campak bayi dari tingkat 13, wanita dihukum penjara 13 bulan

FOTO RTM

GEORGE TOWN, 8 Ogos - Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara 13 bulan dan denda RM10,000 atas kesalahan menyebabkan kematian bayinya yang dicampak dari tingkat 13 sebuah pangsapuri di Bandar Baru Air Itam.

Hukuman diputuskan oleh Hakim Rofiah Mohamad ke atas M. Santhiea, 23 tahun di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Menurut Hakim Rofiah, mahkamah mengambil kira bahawa tertuduh mengalami trauma atau kemurungan melampau selepas kejadian itu dan pernah mengambil keputusan untuk membunuh diri pada hari kejadian.

Tertuduh sebelum ini ditahan reman selama tiga bulan dan tidak dibenarkan ikat jamin, namun dibebaskan Mahkamah Rayuan.

M. Santhiea didakwa pada 16 Julai 2020 atas pertuduhan membunuh bayi yang baru dilahirkannya di laluan masuk ke tempat letak kereta tingkat empat, Pangsapuri Sri Ivory,Bandar Baru Air Itam, kira-kira jam 8.25 pagi pada 10 Julai tahun sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan dan ketika kejadian dia berusia 18 tahun dan merupakan seorang penuntut kolej swasta.

Sebelum ini, tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 309A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian bayi dalam keadaan fikiran terganggu akibat belum pulih sepenuhnya selepas bersalin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Khairiah Dahalaan manakala tertuduh diwakili peguam, RSN Rayer.

SITI SALWA BINTI YUSOP