fb fb fb fb fb

Buruh paksa: Empat remaja Bangladesh diselamatkan

Empat remaja warga Bangladesh diselamatkan dalam Operasi Penguatkuasaan Perburuhan di sebuah kilang papan di Ipoh

IPOH, 11 September - Empat remaja warga Bangladesh yang disyaki dijadikan buruh paksa diselamatkan dalam Operasi Penguatkuasaan Perburuhan di sebuah kilang papan.
 
Serbuan yang dilakukan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bersama Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak itu turut menahan majikan warga asing berusia 58 tahun atas kesalahan menggaji pekerja bawah umur.
 
Menurut Pengarah JTK Negeri, Muhamad Fauzi Abdul Ghani keempat-empat remaja lelaki itu diselamatkan di bawah Seksyen 44 Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
 
Ketika serbuan, pihaknya turut menahan 36 pekerja asing kerana tidak memiliki permit yang sah.

"Ada dua syarikat dengan 224 pekerja asing termasuk empat kanak-kanak. Kita syaki mereka adalah kanak-kanak di bawah umur 14 hingga 16 tahun. Operasi yang dijalankan ini sebenarnya dalam pemantauan kita dan kita telah buat risikan sebelum ini,"katanya.

Kesemua yang ditahan dibawa ke IPK Perak untuk tindakan lanjut.
 
Pada masa sama, pihaknya turut mengesan empat kesalahan lain dilakukan kilang tersebut iaitu tiada perakuan penginapan daripada JTK di bawah Seksyen 24D dan Akta 446.
 
Diikuti gagal menyediakan kemudahan asas seperti yang diperuntukkan di bawah Peraturan-peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Penginapan dan Penginapan Berpusat) 2020.

Dua lagi kesalahan yang dikenalpasti adalah majikan gagal melaporkan penggajian pekerja asing serta gagal memberi notis di bawah Seksyen 63A Akta Kerja 1955 kerana penukaran nama syarikat.

Trainee2