fb fb fb fb fb

Kastam Perlis rampas syabu bernilai lebih RM2 juta

Cubaan membawa masuk dadah jenis syabu seberat 73.319 kilogram berjaya dipatahkan JKDM Perlis/Foto RTM

PADANG BESAR, 11 September - Cawangan Penguatkuasa JKDM Padang Besar berjaya mematahkan cubaan membawa masuk dadah jenis syabu seberat 73.319 kilogram bernilai RM2,346,208

Kejadian berlaku pada 3 September lalu di laluan import, Unit Khas Pemeriksaan Penumpang, Kompleks ICQS Padang Besar.

Menurut Pengarah JKDM Perlis, Ismail Hashim, semasa pemeriksaan dilakukan, pemandu lelaki dipercayai warganegara Thailand sempat menghilangkan diri tanpa disedari pegawai petugas.

Pemeriksaan lanjut menemui 56 paket teh cina yang disembunyikan di bawah tempat duduk penumpang kenderaan jenis Isuzu MU-X bernombor pendaftaran Thailand.

Turut ditemui 14 bungkusan hitam yang disorokkan di bahagian ruangan khas iaitu di lantai tempat duduk penumpang belakang.

“Berdasarkan jumlah berat dadah yang diperolehi, rampasan ini telah berjaya dibanteras daripada diedarkan kepada lebih 730,000 orang penagih dadah. Kes disiasat di bawah seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana jika sabit kesalahan membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup yang mana boleh juga dikenakan hukuman sebat tidak kurang daripada 12 sebatan.”

Selain rampasan dadah jenis syabu, dalam dua operasi berasingan pada 5 September di Kampung Jerlun, Ayer Hitam dan Jalan Sekolah Derma, Kangar, JKDM merampas 3,164 batang rokok tidak berkastam bernilai lebih RM974 melibatkan cukai sebanyak RM2,185

JKDM turut merampas 23 tin dan 31 botol minuman keras tidak berkastam bernilai RM455 dengan nilai cukai RM2,913

Turut ditahan seorang lelaki berusia 52 tahun dan wanita berusia 35 tahun yang juga pemilik kedua-dua premis bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 32(1) Akta Eksais 1976.

Trainee