fb fb fb fb fb

Buruh kebun kelapa sawit ditahan, terlibat kes pecah rumah

Foto hiasan

MARAN, 18 Januari- Polis menahan seorang buruh kebun kelapa sawit kerana disyaki melakukan beberapa siri jenayah pecah rumah sekitar Pekan Awah dan Chenor sejak Oktober tahun lalu sehingga awal Januari ini.

Ketua Polis Daerah Maran Superintendan Wong Kim Wai berkata tangkapan ke atas suspek lelaki berusia 30-an yang merupakan Orang Pengawasan Polis (OPP) itu dilakukan di rumah sewanya pada pukul 11.00 malam 8 Januari lalu di Chenor.

Sebelum operasi, polis telah melakukan risikan dan menyiasat rakaman kamera liter tertutup (CCTV) di salah sebuah rumah mangsa.

"OPP ini sepatutnya menjalani tempoh OPP di Chenor pada 5 September 2024 hingga 4 September 2025. Kalau ikutkan dia (OPP) ada lagi lapan bulan susulan dari tangkapan tersebut.

"Polis juga merampas sejumlah barangan dalam milikan suspek untuk siasatan lanjut," katanya demikian kepada pemberita di sini.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine selain memiliki 13 rekod jenayah lampau dan sembilan rekod penyalahgunaan dadah.

Menerusi operasi berkenaan polis mendapati suspek yang berasal dari Kedah itu hanya tinggal berseorangan di rumah sewanya dan hasil pemeriksaan lanjut polis menemukan alat pecah rumah termasuk sebilah parang yang digunakan untuk mempertahakan diri.

Pelbagai barang kecil disyaki dicuri seperti telefon bimbit, jam tangan dan kasut termasuk sebuah motor yang digunakan suspek turut dirampas dengan anggaran keseluruhannya bernilai RM3,000.

Modus operandi suspek ialah keluar pada awal pagi dengan alasan untuk bekerja di kebun kelapa sawit sebelum melakukan jenayah pecah rumah itu.

Suspek dipercayai mengumpil pintu atau tingkap nako di rumah mangsa sebelum masuk ke dalam untuk mencuri barangan dan dijual secara kecil-kecilan bagi menampung keperluannya membeli dadah.

Suspek telah ditahan reman bermula 9 hingga 15 Januari lepas dan disiasat bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Suspek juga dituduh di Mahkamah Majistret Maran dengan lima pertuduhan bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Dengan penangkapan suspek pihak polis percaya telah menyelesaikan sekurang-kurangnya empat kes pecah rumah siang hari di Pekan Awah dan Chenor.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI