fb fb fb fb fb

Bunuh ibu: Kesan cedera pada dada mangsa, akibat objek tumpul

Peti sejuk beku yang ditemui di sebuah rumah, di Taman OUG

KUALA LUMPUR, 21 November- Laporan awal bedah siasat kes seorang wanita warga emas yang dibunuh anak kandungnya mendapati terdapat kesan cedera pada bahagian dada mangsa akibat objek tumpul.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya masih menunggu laporan penuh autopsi mangsa wanita berusia 80-an yang ditemui dalam peti sejuk beku di sebuah rumah, di Taman OUG, 12 November lalu.

Mayat mangsa telah dituntut suaminya pukul 9.00 pagi tadi di Jabatan Forensik, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Mengulas lanjut mengenai suspek, Datuk Rusdi berkata, anak lelaki mangsa berusia 53 tahun telah selesai mendapatkan rawatan di PPUM akibat masalah kesihatan kronik sejak dia diberkas.

Suspek kini ditahan reman sehingga 26 November di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields. Kes disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Setakat ini, pihak polis sudah merakam percakapan sembilan saksi bagi membantu melengkapkan siasatan.

Pada 12 November lalu, polis menemui mayat seorang wanita berusia dipercayai dibunuh anaknya sejak tiga tahun lepas di Taman OUG Kuala Lumpur.

Suspek dilaporkan mengalami masalah kesihatan kronik membuat laporan polis setelah kehabisan wang simpanan.

Mayat mangsa ditemukan di dalam sebuah peti sejuk dengan keadaan berbalut plastik dan tuala.

BERITA BERKAITAN:
Kes bunuh: Polis tinjau semula lokasi kejadian di Taman OUG

Polis tahan anak sumbat mayat ibu tiga tahun dalam peti sejuk beku

 

ROSLINA BINTI DIN