fb fb fb fb fb

Polis tahan anak sumbat mayat ibu tiga tahun dalam peti sejuk beku

Peti sejuk beku dipercayai untuk menyimpan mayat ibu mangsa berusia 80-an/Foto PDRM

KUALA LUMPUR, 12 November - Polis menahan seorang lelaki susulan penemuan mayat seorang wanita dalam peti sejuk beku di sebuah rumah di Taman OUG, Jalan Klang Lama di sini, pagi tadi.

Mayat wanita berusia 80 tahun yang dibalut dengan tuala dan kain itu ditemui pada 8.48 pagi tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, susulan itu, lelaki warga tempatan berusia 53 tahun ditahan dipercayai anak kepada mangsa.

"Difahamkan suspek menyimpan mayat ibunya di dalam peti ais sejuk beku selepas membunuh mangsa pada Mac 2021," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Tambah Rusdi, mayat mangsa telah dihantar ke Pusat Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk proses bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan motif kejadian masih dalam siasatan" katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi talian utama Polis Kuala Lumpur 03-2115999 atau talian utama Polis Brickfields 03-22979222 atau balai polis berhampiran.

GRACE AISYAH KEDAYAN