KUCHING, 12 November - Tentera Darat Malaysia (TDM) menggagalkan cubaan menyeludup keluar beberapa bungkusan gula dan kampit beras bernilai RM1,140.93 di Serian pagi tadi.
Sel Perhubungan Raya Markas Satu Divisyen, berkata barangan tersebut ditemui sekitar pukul 9 pagi di kawasan belakang kantin Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), kira-kira 100 meter dari sempadan Malaysia-Indonesia.
"Anggota TDM bersama Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD) menjumpai bungkusan plastik hitam berisi barangan keperluan asas tanpa pemilik ketika menjalankan rondaan jarak dekat.
"Antara barangan yang dirampas termasuk 48 paket gula, 23 kampit beras, dan 3 guni bawang putih," katanya dalam kenyataan hari ini.
Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Tebedu, dan semua barangan rampasan diserahkan kepada pihak Kastam untuk tindakan lanjut.