fb fb fb fb fb

Suami isteri, rakan didakwa edar syabu 51kg

Ketiga-tiga individu itu dituduh mengedar dadah jenis syabu seberat 51.9kg

SLIM RIVER, 22 November - Sepasang suami isteri dan seorang rakan pasangan itu dihadapkan Mahkamah Majistret Slim River hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis syabu seberat 51.9 kilogram (kg), pada 11 November lalu.

Tertuduh, Mohammad Amirul Samsudin, 27 tahun, dan isteri, Zaharah Farhana Zamri, 26 tahun, serta rakan mereka Muhammad Firdaus Nazeri, 25 tahun, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, G Phulrani Kaur.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh berikutan kes pengedaran dadah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga individu yang berasal dari Perlis itu didakwa melakukan kesalahan di parkir sebuah pasar raya di Pusat Perniagaan Slim Perdana, Jalan Perdana, Slim River pada pukul 3.35 petang, 11 November lalu.

Perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama.

Kesalahan berkenaan memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Nor Syahirah Azahar manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 24 Januari depan untuk sebutan semula kes dan laporan kimia sementara tertuduh tidak ditawarkan jaminan.

GRACE AISYAH KEDAYAN