KUALA LUMPUR, 22 November - Seorang pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) didakwa atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang pegawai kadet junior di universiti sama.
Tertuduh Mohd Adil Mat Awang Ghani, 22, mengaku tidak bersalah dengan memijak perut mangsa sehingga mengalami keretakan tulang rusuk dan tulang belakang.
Dia membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim.
Mengikut pertuduhan, tertuduh di dakwa mendatangkan kecederaan terhadap Muhammad Haziq Iqbal Ahmad Rashidi, 19 tahun dengan memijak perut mangsa menggunakan but ‘spike’.
Mohd Adil didakwa melakukan kesalahan itu pada 21 Oktober lalu, pukul 10.45 malam bertempat di Padang Kawad Akademi Latihan Ketenteraan UPNM.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin berjumlah RM 10,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan.
Tertuduh tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan yang terdiri daripada pegawai dan pelatih UPNM.
Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim menetapkan jaminan berjumlah RM 5,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan tersebut perlu dipenuhi tertuduh.
Mahkamah kemudian menetapkan 10 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Terdahulu, tertuduh tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sekitar pukul 9.20 pagi.
Pada 8 November lalu, kira-kira pukul 8.40 malam, pihak polis mengesahkan telah menerima satu laporan polis berhubung kejadian mendatangkan kecederaan parah kepada seorang pelajar Tahun 1 UPNM, Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Kejadian dilaporkan berlaku pada 21 Oktober, kira-kira 10.45 malam, ketika mangsa berada di tepi padang kawad setelah selesai panggil nama.
Mangsa berumur 19 tahun, dilaporkan telah mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang akibat kejadian dipijak oleh seorang pelatih tahun 3, di universiti berkenaan.