BUKIT KAYU HITAM, 22 November - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kedah merampas 600 kilogram (kg) tepung beras dan tepung beras pulut, di sempadan negara Bukit Kayu Hitam, Kedah.
Pengarah MAQIS Kedah Hisham Abu Bakar menerusi kenyataan berkata, kesemua rampasan itu adalah hasil daripada penguatkuasaan rapi terhadap barangan dagangan yang tidak memenuhi syarat import yang telah ditetapkan oleh kawal selian padi dan beras.
"Rampasan barangan yang dianggarkan bernilai RM400,000 diserahkan kepada pihak kawal selia padi dan beras Kedah untuk tindakan lanjut," kata Hisham, di sini.
Tegasnya tindakan penguatkuasaan itu bagi memastikan setiap pengimportan mematuhi undang-undang yang ditetapkan, terutamanya berkaitan isu biosekuriti dan pematuhan halal.
Pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran peraturan yang boleh menjejaskan keselamatan makanan, biosekuriti dan kepentingan pengguna.