ALOR SETAR, 22 November - Sebuah gudang yang disyaki menjual pelbagai jam tangan berjenama tiruan di sekitar bandar raya Alor Setar diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah.
Pengarah KPDN Kedah Muhammad Nizam Jamaludin dalam kenyataan berkata, serbuan semalam bersama-sama wakil pemilik cap dagangan berdaftar di gudang yang beroperasi tanpa sebarang papan tanda perniagaan.
"Tindakan dilakukan berdasarkan aduan dan hasil risikan yang dilakukan sejak awal November ini. Pemilik perniagaan dalam lingkungan usia 42 tahun bersama-sama empat pekerja didapati bergiat aktif menjual jam tangan tiruan berjenama secara dalam talian," kata Nizam.
Sejumlah 493 unit jam tangan pelbagai model berjenama dan 1,800 unit kotak jam tangan berlabel jenama terkenal itu yang diperiksa disahkan tiruan oleh wakil pemilik cap dagangan sebelum disita bagi siasatan lanjut.
Jelasnya, nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM12,070 dan kes disiasat bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019.