JOHOR BAHRU, 21 November- Polis menahan enam lelaki pagi tadi dalam insiden dramatik melibatkan kejar-mengejar sejauh 180 kilometer dari Muar, Johor, hingga ke Kuala Lumpur.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar, berkata kesemua suspek, berusia antara 25 hingga 35 tahun, berjaya ditahan sekitar kawasan Damansara, Kuala Lumpur, pada pukul 7 pagi.
Dalam operasi itu, sebuah trak pikap yang digunakan dalam kejadian bersama sebuah lagi kenderaan pacuan empat roda turut dirampas.
"Operasi kejar-mengejar melibatkan beberapa kenderaan peronda (MPV) polis bermula selepas trak pikap itu enggan memberhentikan kenderaan ketika diperiksa.
"Suspek bertindak merempuh palang tol di Jasin sebelum meloloskan diri hingga ke Tol Sungai Besi.
"Ketika tiba di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, mereka bahkan berjaya melepasi penghadang jalan yang tinggi," katanya demikian semasa Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Johor di sini.
Siasatan awal mendapati trak pikap itu adalah kenderaan sewa, dan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk mencuri kabel turut ditemui dalam salah satu kenderaan yang dirampas.
Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam serta Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu secara berbahaya.