ALOR SETAR, 21 November - Helah tiga pengawal keselamatan yang membuat laporan polis kononnya van milik sebuah syarikat keselamatan yang dinaiki mereka disamun menyebabkan kehilangan wang tunai berjumlah RM200,000 terbongkar.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Supritendan Syed Basri Syed Ali berkata, wang tunai yang didakwa hilang sebenarnya dilarikan oleh ketiga-tiga pengawal keselamatan terbabit.
Ujarnya, ketiga-tiga mereka yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dari sebuah syarikat keselamatan swasta di daerah Kota Setar datang ke Balai Polis Alor Setar untuk membuat laporan polis.
Mereka mendakwa van syarikat yang dipandu telah disamun dan guni berisi wang tunai RM200,000 telah dibawa lari suspek.
Curiga dengan keterangan awal ketiga-tiga pengawal keselamatan berkenaan yang dilihat meragukan, pihak polis berjaya menghidu penipuan mereka.
“Polis kemudian berjaya mendapatkan semula wang tunai berjumlah RM200,000 yang hilang kononnya disamun. Susulan itu, pihak syarikat keselamatan tersebut telah membuat satu laporan polis untuk tindakan lanjut,
“Polis menganggap kes selesai dan siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk cadangan pertuduhan," Katanya pada sidang media hari ini.
Ketiga-tiga suspek kini ditahan reman selama tiga hari bermula semalam bagi membantu siasatan.
Kes disiasat dibawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih 14 tahun dan dengan sebat serta denda jika sabit kesalahan.