LUNDU, 21 November- Cubaan enam pendatang asing tanpa izin, PATI untuk memasuki Malaysia melalui lorang tikus di Biawak, Lundu berjaya dipatahkan Tentera Darat Malaysia, TDM, semalam.
Kenyataan media Sel Perhubungan Raya Markas Satu Divisyen memaklumkan, mereka ditahan oleh TDM dan Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat yang sedang melaksanakan penugasan rondaan di Sektor Pos GABMA Biawak, pada jarak kira-kira 68 meter dari sempadan Indonesia.
Kesemua PATI tersebut ditahan kira-kira pukul 4.30 petang.
Hasil daripada penahanan dan pemeriksaan ke atas kesemua PATI lelaki berumur 23 hingga 38 tahun itu mendapati tiada barang terlarang dijumpai.
Kesemua mereka kemudiannya dibawa ke sempadan negara untuk pengusiran.
Laporan polis dibuat di Balai Polis Lundu bagi menentukan tindakan pengusiran dibuat dengan betul mengikut peraturan semasa.