fb fb fb fb fb

Bukit Aman rampas lebih 54,000 mililiter 'jus dadah'

Antara jus minuman yang dirampas disyaki mengandungi campuran dadah

CHERAS, 19 Januari- Polis Bukit Aman berjaya membongkar taktik terbaru sindiket dadah iaitu mencampurkan dadah dalam jus minuman sebelum diedar ke pusat hiburan dan parti persendirian di sekitar Lembah Klang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, modus operandi sindiket memproses dan mengedar dadah itu berjaya ditumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam lima serbuan di sekitar Lembah Klang pada Selalu dan Rabu lalu.

Kegiatan tersebut dikesan mula giat aktif sejak pertengahan tahun lepas.

Serbuan terbabit membawa kepada penahanan enam individu berusia 19 hingga 40 tahun di sekitar Kajang dan Cheras.

Turut disita pelbagai aset milik sindiket termasuk tiga kenderaan mewah, wang tunai dan barang kemas dianggarkan bernilai RM489,408.

Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 17 hingga 23 Januari bagi membantu siasatan bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Dalam operasi ini, jabatan ini telah berjaya merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM448,850 yang terdiri daripada 54,550 mililiter jus yang kita syaki dadah.

"(Sementara itu) 1.68 kilogram serbuk MDMA (methylenedioxy-methamphetamine), 1.44 gram ketamin, 16 gram ganja, lima kilogram serbuk ekstasi, 550 biji pil eramin 5 dan 2,900 pil ekstasi (dirampas)," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sini.

Siasatan turut mendapati sindiket menjadikan kondominium mewah sebagai tempat memproses dan menyimpan bekalan dadah sebelum diedar.

Setiap jus minuman yang diproses itu dijual dengan harga sekitar RM180 hingga RM300 dan dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 27,000 orang penagih.

SITI AISHAH BINTI MD ISA