fb fb fb fb fb

Bukan pelancong tulen, 12 warga asing gagal masuk Malaysia

FOTO AKPS BUKIT KAYU HITAM

BUKIT KAYU HITAM, 12 Oktober - Seramai 12 warga asing daripada pelbagai negara telah ditolak daripada memasuki Malaysia selepas dianggap bukan pelancong tulen.

Tindakan itu dilakukan oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah, semalam.

Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, SAC Mohd Nasaruddin M. Nasir, berkata warga asing terbabit terdiri daripada empat lelaki dan empat wanita warga Thailand, tiga lelaki warga India serta seorang lelaki warga Myanmar.

"Hasil pemeriksaan rapi yang dijalankan oleh pegawai penguat kuasa AKPS mendapati semua individu berusia lingkungan 30-an hingga 40-an itu tidak memenuhi syarat kemasukan ke Malaysia. Malah, mereka juga berkemungkinan bukan pelancong tulen.

"Kesemua individu berkenaan telah diarah berpatah balik ke negara asal masing-masing melalui laluan masuk yang sama," katanya menerusi kenyataan.

Tegas beliau, tindakan itu membuktikan komitmen berterusan AKPS Bukit Kayu Hitam dalam memastikan keselamatan serta integriti sempadan negara sentiasa terpelihara daripada sebarang ancaman penyalahgunaan kemasukan warga asing.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM