fb fb fb fb fb

Lumba haram, 400 penunggang motosikal ditahan

Foto RTM

KLANG, 12 Oktober - Seramai 400 orang penunggang motosikal ditahan selepas terbabit dengan aktiviti lumba haram di Kilometer 0.5 Plaza Tol Bukit Raja awal pagi tadi.

Ops Bersepadu Motosikal itu melibatkan 100 pegawai Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman dan JSPT Kontinjen Selangor serta 10 anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan / Kawalan Lalu Lintas / Pengurusan Saman) JSPT Bukit Aman, DCP Mohd Rozi Jidin berkata, operasi dijalankan selepas menerima aduan orang awam berhubung kegiatan lumba haram dengan aksi berbahaya di kawasan itu.

Pihaknya turut mengesan seorang remaja berusia 15 tahun yang masih bersekolah dan tidak mempunyai lesen motosikal juga terlibat dalam kegiatan tidak bermoral berkenaan.

Manakala hampir kesemua penunggang motosikal yang ditahan didapati bersalah kerana menunggang dalam keadaan berbahaya selain mengancam keselamatan pengguna lebuh raya yang lain.

"JSPT sudah beberapa kali menjalankan operasi di kawasan Plaza Tol Bukit Raja ini dan kita dapati kawasan ini digemari penunggang motosikal untuk melakukan aktiviti lumba haram pada malam hujung minggu.

"Ops Bersepadu Motosikal ini dilaksana bermula pada jam 10.30 malam sehingga jam 4.30 pagi tadi dan asil pemerhatian serta tangkapan dibuat seramai 400 penunggang telah ditahan, proses saringan kesalahan dan urin masih dalam tindakan dan kami berharap operasi ini memberi kesedaran kepada mereka untuk menghentikan kegiatan lumba haram yang jelas membahayakan pengguna jalan raya."katanya ketika ditemui selepas operasi dijalankan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, DCP Rozi turut mengingatkan ibu bapa untuk memantau aktiviti anak-anak mereka khususnya remaja yang masih bersekolah agar tidak terlibat dalam kegiatan lumba haram.

Trainee