fb fb fb fb fb

Polis Kedah lupus lebih 1,300 komponen motosikal ubah suai, bernilai RM131,000 

Polis Kedah telah menyita 21,811 komponen motosikal yang diubah suai, dengan ekzos mencatat jumlah tertinggi iaitu 9,575 unit, diikuti ‘swing arm’ sebanyak 6,768 unit./Foto Polis Kedah

ALOR SETAR, 12 Oktober - Sebanyak 1,385 komponen dan aksesori motosikal yang diubah suai serta tidak mengikut spesifikasi ditetapkan telah dilupuskan Polis Kedah hari ini.

Nilai keseluruhan rampasan tersebut dianggarkan berjumlah RM131,000.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah dalam kenyataan berkata, pelupusan berkenaan melibatkan 546 unit ekzos, 574 unit ‘swing arm’, 15 unit karburetor, 3 Unit Kawalan Elektronik (ECU), 109 unit fork dan 138 item lain.

Beliau berkata, semua aksesori motosikal itu dirampas dan disita bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, pihak polis mendapat arahan daripada majistret di bawah Seksyen 407 Kanun Prosedur Jenayah bagi tujuan pelupusan, yang dijalankan menggunakan jentera penggelek jalan.

“Masih terdapat banyak lagi barang rampasan yang menunggu arahan mahkamah untuk dilupuskan,” katanya.

Secara keseluruhan, Polis Kedah telah menyita 21,811 komponen motosikal yang diubah suai, dengan ekzos mencatat jumlah tertinggi iaitu 9,575 unit, diikuti ‘swing arm’ sebanyak 6,768 unit.

Datuk Adzli menjelaskan, tindakan menyita komponen motosikal yang diubah suai itu dilakukan bagi memastikan keselamatan pemilik kenderaan serta pengguna jalan raya lain.

Beliau turut memaklumkan bahawa pemilik kenderaan boleh menuntut semula motosikal yang disita dalam tempoh 24 jam, dengan syarat mereka perlu memasang kembali aksesori asal.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI