KUALA LUMPUR, 12 Oktober - Seramai 10 pemandu ‘prebet sapu’ tanpa lesen sah termasuk lima warga asing ditahan dalam Operasi Fokus Prebet Sapu di ibu negara, semalam.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) berjaya mengesan kegiatan itu dalam operasi khas bermula pukul 9 pagi hingga 11 malam di beberapa lokasi panas sekitar ibu negara.
Ini termasuk Jalan Bukit Bintang, Jalan Imbi, Jalan Sultan Ismail dan Jalan Walter Granier.
Pengarahnya Hamidi Adam berkata, operasi melibatkan 70 anggota penguat kuasa itu menahan pemandu prebet sapu termasuk lima warga asing dari Bangladesh, Yaman, India dan Sudan.
Mereka dipercayai menjalankan perkhidmatan pengangkutan awam tanpa kebenaran.
Menurut Hamidi, terdapat penumpang yang membayar pakej sehingga RM2,100 bagi perjalanan dari Kuala Lumpur ke Melaka, merangkumi penginapan dan pengangkutan diuruskan oleh ejen pelancongan.
“Kebanyakan mereka menuju ke lapangan terbang, ada juga yang mahu melancong ke negeri lain selain daripada Kuala Lumpur.
“Contohnya, perjalanan dari Kuala Lumpur ke Melaka yang diuruskan ejen pelancongan. Hasil siasatan dan pemantauan mendapati mereka memang pelancong sebenar, namun mungkin telah diambil kesempatan oleh pihak tertentu. Tujuan asal mereka baik, iaitu untuk melancong, tetapi cara pengangkutan digunakan tidak mematuhi peraturan,” katanya dalam sidang media di Depoh Sita JPJ WPKL di sini.
Seramai 35 penumpang dari pelbagai negara termasuk China, Kanada, Pakistan, Bangladesh, India, Palestin dan Iraq didapati sedang menggunakan perkhidmatan prebet sapu.
Kesemua kenderaan itu ditahan atas kesalahan salah guna Lesen Kenderaan Motor (LKM), beroperasi tanpa Lesen Pengendali (KPA) dan tiada lesen memandu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 80 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 16(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.