BINTULU, 12 Oktober - Seramai 104 warga Indonesia ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak selepas didapati tidak memiliki dokumen perjalanan dan permit kerja sah dalam satu operasi bersepadu di sebuah kilang memproses kayu dan papan lapis di Tatau, awal pagi Ahad.
Operasi bermula pukul 2 pagi itu dijalankan hasil maklumat risikan membabitkan 29 pegawai penguat kuasa JIM Sarawak.
Menurut kenyataan jabatan itu, mereka yang ditahan terdiri daripada 27 lelaki, 72 wanita dan lima kanak-kanak yang dipercayai melanggar Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Mereka dibawa ke Pejabat Imigresen Bintulu untuk proses dokumentasi sebelum dihantar ke Depot Tahanan Imigresen bagi tindakan lanjut,” kata kenyataan itu pada Ahad.
Turut ditahan seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai bertindak sebagai pengurus kilang kerana disyaki menggaji pekerja asing tanpa kebenaran pihak berkuasa.
“Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti rangkaian penglibatan serta kemungkinan pelanggaran undang-undang berkaitan penggajian pekerja asing tanpa izin,” menurut kenyataan itu lagi.
Operasi tersebut turut membongkar kegiatan penggajian warga asing tanpa kebenaran yang berleluasa di premis berkenaan, sekali gus menunjukkan tahap ketidakpatuhan majikan terhadap undang-undang sedia ada.