fb fb fb fb fb

Bot Kastam Perlis kena curi, dijumpai di Perairan Satun

Bot Kastam Perlis yang dilaporkan hilang pada 13 Januari lepas, kemudian berjaya ditemukan di perairan Satun, Thailand tiga hari kemudian / RTM

KUALA PERLIS, 23 Januari- Satu aset Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis berupa sebuah sampan yang lengkap berinjen digunakan untuk tugasan pemantauan biasa telah dilarikan penjenayah pada 13 Januari lepas.

Tindakan itu dipercayai untuk menakut-nakutkan anggota penguat kuasa atas tindakan agresif membenteras jenayah penyeludupan di kawasan perairan sempadan Malaysia-Thailand.

Pengarah Kastam Perlis, Ismail Hashim berkata, kehilangan aset berkenaan disedari pihaknya pada waktu pagi dan dipercayai hilang sekitar pukul 4 hingga 6 pagi.

Sampan gentian kaca berserta enjin yang dianggarkan bernilai hampir RM150,000 itu ditunda penjenayah dari jeti Kastam Kuala Perlis sebelum dilarikan ke Thailand.

"Beberapa siri siasatan telah dibuat dan operasi mencari telah dilakukan dengan kerjasama pihak polis dan seterusnya dengan pihak berkuasa Thailand terdiri daripada Maritime Enforcement Coordinating Center-MECC, kastam dan lain-lain serta disusuli dengan saluran Malaysia-Thailand Border Coordination Office : MTBCO.

"Pada 16 Januari 2025, sampan tersebut telah dijumpai di perairan Satun, Thailand dan akan diserahkan kembali kepada JKDM Perlis," katanya.

Tambah Ismail, ketika dijumpai keadaan aset berkenaan masih lagi dalam keadaan asal tanpa ada sebarang pengubahsuaian.

Pada sidang media yang sama, Ismail juga turut mengumumkan kejayaan Kastam Perlis mematahkan cubaan menyeludup daun ketum seberat 1.7 tan di perairan Kuala Perlis dan dipercayai diseludup ke Thailand.

Sebanyak 170 bungkusan plastik hitam yang mengandungi daun ketum ditemui dalam sebuah sampan tanpa nombor pendaftaran dipandu dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Bagaimanapun kedua-dua lelaki berkenaan berjaya melarikan diri dengan terjun dikawasan air cetak dan berenang ke daratan sebelum meninggalkan sampan di kawasan air cetek.

Nilai rampasan daun ketum serta sebuah sampan gentian kaca berserta enjin bernilai hampir RM220,000.

Beliau berkata demikian pada sidang media kejayaan Kastam Perlis Mematahkan Cubaan Menyeludup Daun Ketum di Pejabat Kastam Kuala Perlis.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE