fb fb fb fb fb

Hina Agong, Iswardy Morni kena denda RM5,000

FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 23 Januari- Pemimpin PKR, Iswardy Morni didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen atas satu pertuduhan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong; empat tahun lalu.

Keputusan tersebut dibuat oleh Hakim Datuk M.M Edwin Paramjothy; selepas mendapati Iswardy bersalah atas kesalahan tersebut.

Denda itu dikenakan terhadapnya selepas mengambil kira lelaki itu tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan yang sama sebelum ini.

Sehubungan itu, bagi pesalah pertama, hukuman maksimum yang boleh dikenakan ialah denda sehingga RM5,000, penjara tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah kemudian menetapkan dia dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, Iswardy didakwa telah mengeluarkan kenyataan melalui Facebook miliknya 'Iswardy Morni Official' dengan menyebut kata-kata menghasut yang mempunyai kecenderungan bagi mendatangkan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (ketika itu) di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di sini pukul 3 petang pada 29 Mei 2021.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE