fb fb fb fb fb

Bicara kes warga Thailand seludup 14,000 pil kuda ke Langkawi ditangguh

FOTO HIASAN

LANGKAWI, 20 Mac- Prosiding membabitkan kes lelaki warga Thailand cuba menyeludup 14,000 pil Methampetamine di pintu masuk pulau Langkawi ditangguhkan kepada 19 Mei 2024.

Majistret Natasya Rizal memutuskan perkara itu selepas tertuduh, Wirasak Tialek, 42, didakwa tidak memahami pertuduhan yang dibacakan kepadanya dalam Bahasa Melayu atau Inggeris.

Sehubungan itu, mahkamah dipohon menyediakan jurubahasa Thailand pada prosiding akan datang untuk sebutan semula kes.

Perintah reman dilanjutkan dan jaminan tidak dibenarkan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa JKDM, Akmar Naqhi Jasmi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Media sebelum ini melaporkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah menahan seorang lelaki Thailand berusia 42 tahun yang cuba menyeludup 14,000 pil Methampetamine di Balai Ketibaan Antarabangsa, Terminal Feri Langkawi pada 6 Mac lalu.

Pengarah JKDM Kedah, Nor Izah Abd Latiff berkata, lelaki itu ditahan Cawangan Penguatkuasaan Narkotik Langkawi, ketika melalui kawasan pemeriksaan tanpa bagasi di terminal itu jam 2.30 petang bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana mengedar dadah berbahaya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE