KOTA BHARU, 12 November - Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini membenarkan permohonan reman selama empat hari terhadap 12 individu termasuk seorang wanita dan tiga orang asli, yang dipercayai terlibat dalam perhimpunan di hadapan Istana Negeri, Kubang Kerian, semalam.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Imran Rais Hamid terhadap kesemua suspek berusia antara 26 hingga 67 tahun, bermula hari ini hingga Sabtu.
Tindakan itu bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan kerana menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang.
Difahamkan, kesemua suspek berkumpul di hadapan Istana Negeri sekitar 11.40 pagi semalam, sebelum ditahan pihak polis.
Hasil pemeriksaan turut menemui pelbagai senjata tajam termasuk keris, lembing, kelewang, pedang dan benet, manakala antara barangan lain yang dirampas ialah kayu, tongkat buluh, teko dan cawan tembaga, rantai manik, duit syiling pelbagai mata wang, akar kayu serta sehelai songket berwarna kuning.