BUKIT MINYAK, 12 November - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak masak paket subsidi di sebuah gudang di Sungai Jawi, Seberang Perai Selatan yang dipercayai beroperasi secara tidak sah sejak tiga bulan lalu.
Operasi berkenaan dilaksanakan menerusi Ops Tiris 3.0 hasil risikan selama sebulan.
Dalam serbuan itu, pihak KPDN menemukan minyak masak paket satu kilogram dianggarkan berjumlah 5,720 kilogram, yang dipotong bungkusan asal sebelum dipindahkan ke dalam botol lima kilogram dan tong biru 150 liter untuk dijual semula secara tidak sah.
Turut dirampas mesin pam, gunting, plastik bungkusan minyak pelbagai jenama serta beberapa dokumen berkaitan, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM16,000.
Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an turut ditahan bagi membantu siasatan.
Pengarah KPDN Pulau Pinang, R. S. Jegan berkata, hasil siasatan mendapati gudang berkenaan beroperasi tanpa sebarang lesen atau permit sah seperti yang diwajibkan di bawah undang-undang.
“Beberapa dokumen berkaitan dan barangan tersebut telah disita untuk siasatan lanjut dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM16,892. Hasil siasatan mendapati gudang itu telah beroperasi selama tiga bulan tanpa mengemukakan sebarang dokumen lesen atau permit yang sah untuk memiliki dan mengurus barang kawalan berjadual,” katanya.
KPDN menegaskan akan terus mempergiat pemantauan serta pengawasan bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menyeleweng barangan kawalan bersubsidi yang sepatutnya dinikmati rakyat.